Thursday, May 28, 2009

DOSA YANG TIDAK BERTAUBAT

HATI MATI

HATI adalah organ yang paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat yang ikhlas itu akan diberi pahala oleh Allah.

Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya adalah membabitkan seluruh anggota tubuh badan manusia. Maka, akan lahirlah penyakit masyarakat berpunca dari hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati adalah amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa bertaubat itu akan menyebabkan terjadinya satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Maka bayangkanlah bagaimana pula kalau sepuluh dosa? Seratus dosa? Seribu dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan dalam hadis Rasulullah bermaksud: “Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.

Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud “Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.

Allah berfirman yang bermaksud “Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya.

“Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 74).

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan bahawa batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah.

Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara yang paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlakulah kemusnahan yang amat besar terhadap manusia.

Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah natijahnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati kita. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabk an oleh Allah pada akhirat kelak.

Persoalannya sekarang, kenapa hati mati? Hati itu mati disebabkan perkara berikut:

Pertama: Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Zumar, ayat 22).

Kedua: Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.

Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra'd, ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud “Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik.” (Surah al-Syura, ayat 88 - 89)

Sunday, May 24, 2009

TOLERANSI AGAMA DALAM ISLAM

TOLERANSI


ISLAM tidak membezakan darjat atau keturunan, miskin atau kaya kerana manusia adalah sama di sisi Tuhan. Yang berbeza ialah amalan dan ibadatnya, bukan pangkat dan harta bendanya.

Islam juga tidak pernah menghalang umatnya menjalin hubungan dengan manusia lain yang berlainan kepercayaan agama.

Di sinilah wujudnya toleransi agama dalam Islam.

Dalam perkara ini Islam memberi garis panduan agar pergaulan dalam masyarakat itu wujud dalam bentuk keluarga besar yang saling membantu dan tahu tanggungjawab masing-masing.

Islam juga memberi panduan bahawa dalam masalah hukum dan yang berkaitan dengan akidah, tidak ada tolak ansur, tetapi dalam pergaulan perlu ada tolak ansur bagi mewujudkan sebuah masyarakat harmoni.

Saling menghormati adalah amalan yang diajarkan Islam dengan tidak mengira suku kaum dan kepercayaan.

Ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

*Hai orang yang beriman, janganlah satu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita yang diperolok-olokkan, dan jangan kamu mencela dirimu sendiri (yang dimaksudkan mencela sesama mukmin), dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk sesudah (mereka) beriman dan barang siapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang yang zalim.* (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Ayat ini menunjukkan ada empat faktor penting untuk mewujudkan toleransi dan tidak boleh dilakukan terutama bagi orang mukmin iaitu:

- Dilarang memburukkan dan mencari keburukan orang lain, Ini kerana dengan perbuatan itu hakikatnya kita sendiri yang tidak baik.

- Dilarang kaum wanita memperolok-olokkan sesama mereka. Dalam ayat ini dikhususkan kepada kaum wanita kerana kejadian ini banyak berlaku ke atas kaum hawa. Kaum wanita tinggi emosi hingga ada ketikanya sukar membezakan antara yang baik dan membahayakan.

- Dilarang kita memanggil orang lain dengan gelaran yang menyakitkan hati atau dengan gelaran yang tidak baik. Ini kerana perkara begini sering membawa kemungkaran dan pertengkaran.

- Dilarang kita mencaci sesama mukmin dan Muslim kerana mencaci dan mencela adalah perbuatan syaitan. Perbuatan ini selalunya tidak disedari kerana sudah terlalu biasa. Kita boleh menegur dan membetulkan kesalahan dengan cara yang baik, bukannya dengan mencaci dan mencela.

Malah kita juga dituntut untuk menegur kesilapan seseorang lain secara bijaksana atau berhemah. Ini kerana Islam sangat mementingkan penjagaan maruah atau air muka pihak yang ditegur supaya ia tidak memusuhi Islam, sebaliknya dapat melihat keindahan Islam itu.

Berdasarkan empat faktor yang ditentukan oleh Tuhan sebagai peringatan kepada manusia, khususnya umat Islam ini, jelas bahawa Islam mahu umatnya mengutamakan toleransi dan mahabbah (cinta mencintai) sesama insan. Jika keempat-empat faktor ini dipelihara, insyaAllah akan terciptalah satu masyarakat yang saling sayang menyayangi.

Ini terbukti dalam firman Allah yang bermaksud:

*Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain. *Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? *Maka tentu kamu berasa jijik, dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.* (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa kita diharamkan mencari kesalahan orang lain. apa lagi mempunyai perasaan buruk sangka atau mengumpat.

Firman Allah lagi, yang bermaksud:

*Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali. *Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dan maha mengenal.* (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Maksudnya, semua manusia itu pada hakikatnya adalah sama, tidak mengira sama ada berlainan bangsa, warna kulit atau bahasa.

Di sisi Allah, tinggi rendahnya pangkat dan kekayaan tidak menjadi kiraan. Sebaliknya, keimanan dan ketakwaan yang menentukan buruk baiknya seseorang umat itu. Fikir-fikir dan renung renungkanlah. .

SYAWAL

Suatu ketika Syawal terlibat pembicaraan dengan gurunya…. Syawal mempertanyakan makna cinta dan gurunya pun menjawab: “Masuklah kedalam huta...